Man Jadda Wajada

“Man Jadda Wajada”??
Pepatah arab ini
membawa erti
BARANG SIAPA YANG BERUSAHA DIALAH YANG AKAN BERJAYA! .
Namun,
penulisan artikel kali ini saya ingin lebih menyentuh konsep
DOA + USAHA +
TAWAKAL = KEJAYAAN dan KONSEP MENUNTUT ILMU ITU SENDIRI.
Dalam meniti
saat-saat akhir menjelmanya medan perjuangan peperiksaan semester kali ini,
janganlah kita lupa untuk berdoa kepada Allah SWT. Doa merupakan kunci utama
untuk memulakan pelbagai aktiviti.
Doa itu umpama otak ibadat dan segala apa
yang kita lakukan kerana Allah adalah ibadat. Namun, ada juga antara kita yang
sering berdoa tetapi tidak berusaha. Sikap begini hendaklah ditukar kerana
Rasulullah SAW yang juga kekasih Allah juga berusaha untuk mendapatkan sesuatu.
Yakinlah dengan Rahmat Allah SWT, sekiranya kita sendiri sombong untuk meminta
pertolongan Allah bagaimana Allah SWT ingin menurunkan Rahmat-Nya kepadamu?
Yakinlah doa anda akan terkabul kerana salah satu penyebab terbesarnterbesar
terkabulnya doa adalah kehadiran hati yang disertai harapan bahawa doa tersebut
akan dikabulkan Allah SWT. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW; baginda
bersabda:
“Berdoalah kamu kepada Allah dengan keyakinan bahawa doa itu
dikabulkan, kerana Allah tidak akan menerima doa dari hati yang lalai dan
main-main” (Riwayat Tirmizi)
Dalam kita berdoa, kita perlu beradab siapkan diri agar doa kita
diterima Allah SWT. Antara SYARAT-SYARAT TERKABULNYA DOA seseorang hamba-Nya
ialah:
1.Khusyuk
dan penuh harapan
2. Penuh keseriusan
3. Merasa sangat mendesak
4. Tidak terburu-buru
5.Rezeki yang halal

InsyaAllah sekiranya kita menjaga protokol berdoa kepada Allah, pasti akan
Allah akan perkenankan doa-doa hamba-Nya. Seperti yang saya janjikan dari awal
saya ingin menyentuh konsep menuntut ilmu itu sendiri kerana melihat kita semua
seolah-olah menuntut ilmu tanpa mengamalkannya. Bila ditanya apa yang di
belajar di kuliah? hanya mampu menjawab segalanya ada di dalam buku atau nota
bukannya di minda masing-masing. Kerana apa? Kerana kita sering alpa dalam memahami
konsep ilmu dalam agama islam itu sendiri, apatah lagi mengamalkannya?.
Antaranya adalah ilmu mengenai mati.
Ramai yang berkata yang mereka takut mati
dan ramai pula belajar untuk persediaan menghadapi mati tetapi persoalannya
berapa ramai yang bersedia untuk mati. Kita kadangkala tidak sedar bahawa mati
kian menghampiri dengan alasan kita tidak tahu kedatangannya tetapi hakikatnya
jika sentiasa mengingati mati dengan kefahaman ilmu yang ada, pasti kita berasa
satu hari ke satu hari mati menghampiri kita. Itu adalah impak ilmu yang
bermanfaat dalam membentuk peribadi seseorang.Sebelum mengakhiri artikel kali
ini, ingin saya kongsikan satu kisah yang sebenarnya sering kali berlaku dalam
kehidupan kita.
Ia mengisahkan seorang sufi yang telah kematian ayahnya sewaktu
kecil. Namun, ayahnya begitu prihatin dan telah mewasiatkan kepada salah
seorang sahabat untuk menjaga anaknya yang bernama Abu Hamid Al-Ghazali dan
adindanya Ahmad.
Tidak sekadar
mewasiatkan malah mungkin dia tahu akan perjalanan anakandanya itu, maka dia
juga telah memberi kepada sahabatnya itu sedikit wang perbelanjaan untuk
menyara kehidupan anak-anaknya itu agar tidak menyusahkan sahabatnya kelak.
Sebagai seorang
pemegang amanah, maka sahabatnya telah menjaga anak-anak allahyarham sesempurna
yang mungkin hinggalah habis wang perbelanjaan hidup yang ditinggalkan. Setelah
habis perbelanjaan untuk membesarkan anak-anak tersebut, maka dia pun
menasihatkan keduanya untuk keluar mencari ilmu sebagai bekalan dunia dan
akhirat.
Abu Hamid Al-Ghazali
dan adiknya Ahmad kemudian berangkat keluar dari daerah mereka untuk mencari
ilmu di sebuah madrasah dan belajar di sana sehingga tamat pengajian. Sewaktu
belajar, Abu Hamid Al-Ghazali adalah seorang yang tekun dan rajin. Kesemua yang
dipelajarinya itu akan ditulis dalam nota. Kemudian disimpan nota-nota itu
dalam sebuah bungkusan.
Setelah tamat
pengajian di madrasah tersebut, maka dia pun berangkat pulang dengan membawa
bungkusan yang penuh dengan nota-nota pelajaran. Ketika dalam perjalanan
pulang, tiba-tiba kafilah yang ditumpangi mereka dirompak. Para perompak
tersebut menyelongkar setiap harta benda serta bungkusan yang dibawa dan Abu
Hamid Al-Ghazali tidak terkecuali dalam hal ini.
Dia kemudian
didatangi perompak yang ingin menggeledah setiap bungkusan yang dibawanya.
Sewaktu perompak tersebut ingin membongkar bungkusan nota-nota ilmu yang
dipelajarinya, maka berteriaklah Abu Hamid Al-Ghazali meminta di kasihani.
Menurutnya, bungkusan itu adalah titik
peluh nya dan dia meninggalkan tempat kelahirannya hanya semata-mata kerana
bungkusan ini.
Kata-kata Abu
Hamid Al-Ghazali menimbulkan rangsangan kepada perompak untuk meneruskan
pembongkaran bungkusan yang mereka fikirkan mempunyai harta yang bernilai.
Dengan rakusnya perompak tersebut membuka bungkusan tersebut tetapi dengan
hampanya hanya menemui nota-nota yang ditulis oleh Abu Hamid Al-Ghazali.
Perompak itu
dengan sinisnya berkata, “Bagaimana kamu mahu berdakwah dengan ilmu yang telah
kamu pelajari kerana jika aku rampas bungkusan ini bermakna kamu akan
kehilangan ilmu kamu.” Sambil ketawa terbahak-bahak, si perompak itu
melemparkan bungkusan yang dipunyai oleh Abu Hamid Al-Ghazali itu.
Peristiwa tersebut
telah menjadi titik tolak kepada perubahan cara berfikir Abu Hamid Al-Ghazali.
Sebagai seorang sufi, dia melihat segala yang dihadapi olehnya adalah pemberian
ilmu oleh Allah yang amat dicintai kepadanya. Dia berkata-kata dalam hatinya
bahawa kata-kata penyamun tersebut adalah kata-kata yang diilhamkan oleh-Nya
untuk member tunjuk ajar dan pemahaman tentang cara mempelajari ilmu.
Terangsang dengan kata-kata yang benar dari perompak tersebut, maka dia
menghafal serta memahami segala yang telah ditulisnya dalam nota-nota itu.
Abu Hamid
Al-Ghazali berkata, “Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan
cara aku berfikir telah datang daripada seorang penyamun jalanan.”
Kisah ini
sebenarnya banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kita mempunyai satu sikap
terpuji apabila berlumba-lumba mencari ilmu pengetahuan. Kita berhabisan wang
ringgit agar memperolehi ilmu baik secara formal mahupun tidak. Meskipun
begitu, hanya segelintir yang benar-benar mempraktikkan apa yang dipelajari dan
selebihnya hanya menjadikan nota-nota ilmu sebagai koleksi yang mungkin dapat
dibanggakan dan tidak kurang juga yang gemar sekali mengumpul sijil-sijil
penyertaan dan dijadikan hiasan. Hasil dari kreativiti yang tidak kreatif ini
hanyalah pujian tetapi bukan perubahan dalam hidup.
Sesungguhnya, orang yang berilmu bukan diukur dari banyaknya ilmu
yang dipelajari tetapi mereka dilihat mereka dilihat dari kedalaman ilmu yang
dipelajari. Meskipun hanya satu ilmu tetapi jika dia memahami dengan begitu
mendalam, maka dia adalah orang yang berilmu. Untuk memahami dengan begitu
mendalam, hanya satu cara sahaja yang dapat memberi impak yang cukup besar
iaitu mengamalkannya. Ilmu tanpa amal adalah perbuatan yang sia-sia manakala
amal tanpa ilmu membawa kesesatan. Setiap kali kita mengamalkan ilmu pengetahuan yang dipelajari, maka setiap
kali itu juga ia memberi pengalaman baru dan menjadikan ilmu pengetahuan itu
lebih sebati dengan kita.
Biarlah sedikit
ilmu tetapi berkat mengamalkannya, nescaya ia akan bertambah hingga tiada ruang
untuk anda menampungnya.
Selama ini kita
bermasalah dan sering melihat masalah dari sudut gelapnya. Tetapi masalah juga
yang menjadikan Abu Hamid Al-Ghazali seorang yang hebat pengetahuannya kerana
dia belajar untuk bermain dengan masalah dan demi memastikan kemenangan
miliknya, dia meningkatkan kemahiran dan upaya diri dalam bermain dengan
masalah.
Hari ini tidak ramai insan seperti Abu Hamid Al-Ghazali kerana
ramai yang memikirkan mereka sudah cukup ilmu hingga berlagak sombong.
Kesombongan adalah kemusnahan dan kesombongan adalah hasil kebodohan juga
merupakan hasil daripada kesombongan.
Semoga kisah Abu
Hamid Al-Ghazali tersebut menjadi pedoman dalam hidup kita dan membakar
semangat dalam berjuang di medan menuntut ilmu. Buat sahabat-sahabat Diploma
yang akan menghadapi FINAL semester ini, saya ucapkan SEMOGA BERJAYA dan
ingatlah niat segala perbuatan itu kerana ALLAH SWT...Semoga artikel ini dapat
memberi pedoman kepada sahabat-sahabat dan diri saya sendiri. Wallahualam.
-ANAS-
Sumber : Buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi; Ibnu Amrullah
Yusuf; Jasmin Publication
Buku Bebas Dari Belenggu; Dr. Azhar
Hj. Sarip;Karya Bestari Sdn Bhd